Bekas bintang Piala Dunia kuatkan Sabah
Sumber : Berita Harian
BEKAS pemain Piala Dunia Afrika Selatan, Dumisa Ngobe bakal menguatkan cabaran Sabah dalam menghadapi kempen bola sepak Liga Perdana yang bermula Jumaat ini.
Antara rakan seangkatan dengan Ngobe dalam skaud Afrika Selatan adalah Mark Fish, Lucas Radebe dan Benedict McCarthy.
Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Sabah, Harry Baking berkata keputusan muktamad sama ada Ngobe akan menyarung jersi pasukan itu bergantung kepada keputusan pemeriksaan perubatan.
"Dia sudah menjalani pemeriksaan perubatan Jumaat lalu dan kita jangkakan keputusan itu dapat diketahui Isnin ini," katanya.
Sekiranya terpilih, bekas pemain Orlando Pirates dalam Liga Perdana Afrika Selatan itu adalah tenaga import ketiga diikat Sabah musim ini.
Dua pemain import yang sebelum ini berjaya memikat persatuan itu adalah juga dari benua Afrika iaitu Charles Obi dari Nigeria dan Paulus Shitaleni Shipanga dari Namibia.
Dalam pada itu, Sabah turut mengikat lima pemain baru dari Semenanjung iaitu Chow Chee Wing, Ahmad Tharmini Saiban, R Rajes, S Sunder dan Rezuan Muhamad Radzy bagi memperkukuhkan saingan musim ini.
Selain itu, ia turut menyerap lima pemain dari Liga Simpanan iaitu Irwan Jamil, Harold John, Azrul Ejati Damsah, Hardy Charles Parsi dan Ebby Roy Raimon selain mengambil semula pemain veteran, Burhan Ajui dan Bobby Gonzalez.
Skuad itu turut mengekalkan 10 pemain musim lalu iaitu G Jeevanatham, Clarrey Tabad, Rohny Harun, Henry Parsi, David Johny, Zulamri Muhamad, Rosdin Wasli, Henry Soimpon, Zainizam Marjan dan Mohd Radzi Hussin.