Norizan jadi sasaran

Sumber :  Berita Harian

Norizan jadi sasaran belasahan persatuan negeri kerana enggan lepas pemain

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) pernah mahu membatalkan penganjuran Liga Malaysia 2006-2007 yang membuat sepak mula, 16 Disember lalu.

Alasannya mudah – badan induk itu mahu segenap perhatian dan tumpuan difokuskan kepada persiapan skuad kebangsaan menghadapi pusingan akhir Kejohanan Piala Asia yang akan dianjurkan negara, Julai nanti.


“Langkah drastik itu antara dua cadangan dibawa ke Majlis FAM. Ia kerana kita tidak mahu timbul pergeseran badan induk dan persatuan negeri untuk berebutkan khidmat pemain,” kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr Ibrahim Saad.

Namun, persatuan negeri memilih cadangan kedua – memastikan liga tetap dilangsungkan dengan disertai janji mereka betapa tiada rungutan akan timbul apabila pemain dipanggil menyertai skuad negara.

Tetapi lain dijanji, lain pula ceritanya ketika ini.

Sekretariat FAM jadi mangsa kecaman berikutan ketegasan jurulatih negara, Norizan Bakar, enggan melepaskan pemain yang kini bersiap untuk Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), bermula minggu depan.

Beberapa pegawai persatuan negeri secara terbuka mengecam tindakan Norizan, termasuk mengetengahkan alasan lapuk betapa merekalah bertanggungjawab membayar gaji bulanan pemain.

“Ada beberapa pihak mungkin tidak tahu latar belakang keputusan ini. Ataupun mungkin ianya tidak disampaikan kepada mereka.

“Jadi, timbullah kenyataan yang terkeluar daripada fakta, tanpa mengambil peduli prinsip di sebalik persetujuan itu dan menjadikan seolah-olah pasukan kebangsaan tidak penting berbanding pasukan masing-masing.

“Sebelumnya, semua pihak bersetuju, termasuklah beberapa jurulatih seperti Dollah Salleh, Irfan Bakti, Ahmad Yusof dan ramai lagi,” tegas Dr Ibrahim.

Malah FAM turut membuat beberapa perubahan demi memastikan cabaran pasukan tidak terjejas, termasuk membenarkan pendaftaran sehingga maksimum 30 pemain, berbanding hanya 22 pemain musim sebelumnya.

Ia demi memastikan apabila ada pemain dipanggil untuk skuad negara, setiap pasukan tetap mempunyai jumlah pemain mencukupi untuk mengharungi cabaran liga. Turut dibenarkan ialah pendaftaran serta merta untuk penggantian pemain.

Malaysia adalah tuan rumah bersama kejohanan terulung benua Asia itu, Julai nanti, dan diundi sekumpulan dengan China, Uzbekistan dan Iran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *