Gol Obi bantu Sabah ikat Kelantan di Likas

Sumber : Berita Harian

 

SABAH melonjak satu anak tangga ke tempat ketujuh, satu tempat di belakang Kelantan selepas mengikat pasukan itu 1-1 di Stadium Likas Kota Kinabalu malam tadi.

Dengan kebanyakan pasukan tidak bermain ekoran tempoh rehat untuk memberi ruang kepada skuad kebangsaan, kedua-dua pasukan itu gagal mengenakan tekanan ke atas kelompok pendahulu dengan kemenangan mana-mana pasukan mampu membantu melonjakkan mereka ke kumpulan lima teratas.

 Perlawanan yang disaksikan tidak sampai 1,000 orang gagal mencetuskan imaginasi pemain yang menjelmakan aksi hambar di babak pertama.


Pemain tengah Kelantan dari Chile, Danilo Alejandro membayar dividen serta-merta pembeliannya minggu ini dengan membuka akaunnya menerusi sepakan percuma minit ke-16 dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gawang, G Jeevanantham.

Tuan rumah gagal menghadirkan sengat yang mengancam dengan ledakan solo penggempur Nigeria, Charles Obi berakhir dengan rembatan sipi dari luar kotak penalti, lima minit sebelum berakhir separuh masa pertama.

Separuh masa kedua, Sabah meningkatkan asakan untuk memburu gol penyamaan manakala Kelantan lebih banyak bertahan untuk mempertahankan pendahuluan mereka.

Lebih lima percubaan gagal menembusi kekebalan penjaga gawang Kelantan yang gagal beraksi dalam kejohanan bawah 20 tahun Asia ekoran kecederaan, Amini Ahmad Tabarani.

Serangan bertali arus mereka akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-68 apabila sepakan percuma kencang Obi membuahkan hasil buat tuan rumah.

Sabah hampir mencuri kemenangan pada penghujung akhir saingan apabila gerakan dari bawah, Obi di sayap kanan berakhir dengan lorongan ke Chow Chee Weng pada minit ke-84 tetapi usahanya gagal memberikan mata penuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *