Kalah Malaysia tetap mara

Sumber : Berita Harian

Anak buah Norizan kecundang di kaki Thailand tapi dibantu Filipina ikat Myanmar

JUTAAN terima kasih harus dihamburkan kepada Filipina yang membantu Malaysia mara ke separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Asean edisi keenam sekalipun skuad negara tumpas 1-0 kepada Thailand, di Stadium Suphachalasai, Bangkok, malam tadi.

Filipina berjaya mengikat Myanmar seri 0-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan A di Stadium Tentera yang membolehkan anak buah Norizan Bakar tersenyum megah di sebalik kekalahan tipis kepada tuan rumah.

CEMAS: Pertahanan
 
 
 
 
 
 
CEMAS: Pertahanan
Malaysia, Norhafiz
Zamani Misbah
(kanan) cuba mengekang
asakan serangan
pemain Thailand,
Kiatisuk Senamuang
(tengah) dan
Sarayoot
Chaikamdee
dalam saingan
Kumpulan A Kejohanan
Asean di Bangkok,
malam tadi.
 
 
 
 
 
 
 

Keputusan itu membolehkan Malaysia muncul naib juara kumpulan dengan mengumpul empat mata tatkala Thailand mengotakan janji menjuarai kumpulan dengan tujuh mata. Myanmar berputih mata apabila gagal mencatat sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan sebaliknya hanya pulang dengan tiga mata hasil tiga seri.

Kini Malaysia akan menunggu juara Kumpulan B yang akan ditentukan di Singapura hari ini bagi perlawanan separuh akhir pertama di gelanggang sendiri pada 23 Januari ini.

“Banyak akan diperkatakan mengenai kemaraan kami ke separuh akhir tetapi oleh kerana kami sudah layak, ia tidak menjadi masalah lagi.

“Perlu ditegaskan kejayaan kami ke separuh akhir bukannya menerusi perlawanan terakhir ini tetapi berdasarkan minit-minit saingan menentang Filipina dan Myanmar. Tanpa keputusan dua perlawanan itu, kami mungkin tidak berjaya melakukannya,” kata Norizan selepas perlawanan.

Sesudah berjaya mengekang Thailand pada keseluruhan babak pertama, benteng pertahanan Malaysia ditembusi juga tiga minit babak kedua bersambung.

Menerusi satu serangan balas pantas selepas sepakan percuma Hardi Jaafar tidak menjadi buat Malaysia, Suchao Nutnum dari sebelah kanan melintangkan bola tepat ke kepala penyerang Sarayoot Chaikamdee yang menewaskan penjaga gol, Syamsuri Mustafa betul-betul dari tengah kotak penalti.

Gol itu menyentak seketika semangat pemain negara yang amat memerlukan kemenangan untuk mara ketika keputusan seri sekalipun mungkin menyaksikan mereka tersingkir. Namun Filipina nyata mencipta keajaiban dengan mengekang setiap serangan Myanmar.

Sedikit kekesalan di kem Malaysia apabila pertahanan kiri Irwan Fadli Idrus dibuang padang dua minit sebelum tamat sesudah mengasari Suchao. Dia pasti tidak boleh diturunkan pada separuh akhir pertama.

MALAYSIA: Syamsuri Mustafa; Fauzie Nan, Kaironnisam Sahabuddin Hussain, Norhafiz Zamani Misbah, Irwan Fadli Idrus; Khyril Muhymeen Zambri (Rezal Zambery Yahya), Shukor Adan, Eddy Helmi Manan (K Nanthakumar), Hardi Jaafar; Nizaruddin Yusof (Samransak Kram), Hairuddin Omar.

THAILAND: Kosin Hathairattanakool; Jetsada Jitsawad, Natthaphong Samana, Niweat Siriwong, Suree Sukha, Nirut Surasiang (Hadthporn Suwan), Pichitpong Choechiu, Suchao Nutnum, Sutee Suksomkit (Jakkrit Bunkham), Sarayoot Chaikamdee, Kiatisuk Senamuang.

Pengadil: Hajime Matsuo (Jepun).

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *