KL 1 – 0 Sabah

KL benam cabaran Sabah
Oleh Harris Rajahdin

SATU gol jaringan pemain import dari Paraguay, Hugo Daniel Lucena sudah cukup memberikan tiga mata buat Kuala Lumpur selepas membenam cabaran Sabah dalam saingan Liga Perdana di Stadium Kuala Lumpur, malam tadi.

Tuan rumah jelas menguasai saingan awal dengan melancarkan serangan bertali arus yang dimulakan pada minit keenam menerusi tandukan Azrine Effendy Sa’adud hasil sepakan sudut Ivan Yussof. Namun ia terkena palang dan dikeluarkan dari kawasan bahaya oleh pertahanan Sabah.


Pelawat tidak berdiam diri apabila pada minit ke-18, mereka pula bertindak melancarkan gerakan berbahaya menerusi rembatan kencang Chow Chee Weng dari luar kotak penalti tetapi sempat ditepis keluar penjaga gol Kuala Lumpur, Saiful Amar Sudar yang nyata sudah bersedia.

Pelawat kemudiannya terus menggandakan asakan apabila pemain import dari Namibia, Paulus Shipanga merembat sipi selepas gerakan solo di sayap kiri pada minit ke-30.

Paulus juga mensia-siakan peluang di depan gawang selepas gerakan mengelirukan Charles Obi di sayap kiri disudahkan dengan lorongan sisi kepadanya yang merembat terus ke dakapan Saiful Amar lapan minit sebelum rehat

Gol pertama tuan rumah bagaimanapun hadir pada minit ke-50 apabila Lucena merembat masuk hasil sepakan sudut Azrine selepas berlaku keadaan kelam kabut dalam kotak penalti Sabah.

Tuan rumah hampir memperoleh gol kedua empat minit kemudian tetapi sepakan Ivan terus ke dakapan penjaga gol pelawat, G Jeevanathan sebelum pelawat kembali menemui rentak dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-62 tetapi rembatan Paulus sekali lagi tersasar.

Selepas agak selesa mendahului, Kuala Lumpur terus mengasak pelawat pada babak kedua tetapi gagal menambah jaringan.

Harapan terakhir mereka untuk menambah jaringan terbantut pada minit ke-85 apabila sepakan lintang pemain import Jorge Armando dari Paraguay gagal disambut rakan sepasukan namun ia sudah cukup memberikan tiga mata kepada pasukan warga kota itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *