Sabah ungguli persada Kumpulan C

Sumber : Berita Harian

 

 SABAH mengekalkan kedudukan pendahulu Kumpulan C Piala Malaysia apabila gol lewat Sylvester Sindi membolehkan skuad itu mengikat Kedah dengan keputusan 1-1 di Stadium Darulaman, malam tadi.

 Keputusan itu bermakna Kedah kekal di tangga kedua akibat beza jaringan kurang biarpun kedua-dua pasukan kini sudah menghimpun tujuh mata selepas tiga perlawanan awal.

Selepas babak pertama gagal menyaksikan sebarang jaringan, aksi lebih sengit menjadi tontonan pada separuh masa kedua dan Kedah beroleh gol pendahuluan menerusi Rosaidi Wahab pada minit ke-59.

Namun ketika perlawanan kian hampir ke penghujung, Sabah menghampakan Kedah apabila Sylvester menanduk bola umpanan Charles Obi melepasi jangkauan penjaga gol tuan rumah, Abdul Hadi Hamid untuk kedua-dua pasukan berkongsi mata.


Keputusan itu membolehkan Perak kian menghampiri apabila skuad kendalian Steve Darby membelasah Pahang dengan kemenangan besar 5-0 di Stadium Perak.

Keita Mandjou membuka tirai jaringan seawal minit keempat apabila merembat masuk bola lantunan daripada percubaan awal Shahrulnizam Mustafa sebelum kelebihan itu digandakan Ahmad Shahrul Azhar pada minit ke-38.

Khalid Jamlus kemudiannya menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-75 apabila menyambung umpanan Mandjou ke dalam gawang lawan sebelum R Surendren menyumbat gol keempat Perak pada minit ke-84 selepas menyempurnakan umpanan pendek Danial Fadzly Abdullah.

Seminit sebelum tamat, Perak beroleh sepakan penalti apabila Khalid dijatuhkan penjaga gol Pahang, Mohd Iqbal Suhimi. Biarpun rembatan pertamanya ditampan Iqbal, Surendren kemudiannya tenang menyempurnakan bola lantunan untuk gol kelima pasukannya.

Di Stadium Sarawak, gol lewat Fatulrazi Rosli membolehkan Polis menundukkan tuan rumah dengan keputusan 3-2.

Polis mendahului pada minit ke-51 menerusi John Mawalma sebelum kelebihan itu digandakan Mohd Badri Mohd Radzi pada minit ke-58 selepas meledakkan rembatan daripada kawasan tengah padang.

Sarawak bangkit dengan gol pertama sumbangan Joseph Kallang pada minit ke-74 yang menyempurnakan lorongan Ramos Sari sebelum kedudukan diikat 2-2 menerusi gol Zambery Zainal, tiga minit kemudiannya.Namun gol lewat Fatulrazi jadi pemisah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *