Isu penangguhan aksi Polis, Sabah semakin kusut

Sumber : Berita Harian

 TIADA sebarang tanda atau kesan kerja-kerja pembaikan padang mahupun pemasangan paip untuk sistem perparitan kelihatan di Stadium Selayang ketika tinjauan dilakukan, petang semalam.

 Lantas, ia mengusutkan lagi isu penangguhan perlawanan Liga Perdana di antara Polis dan Sabah – sepatutnya dilangsungkan di stadium itu Jumaat lalu – hingga mencetus dakwaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak menuruti peraturan sendiri ketika membuat keputusan itu.

Ianya tercetus daripada surat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang dipanjangkan Persatuan Bola Sepak Polis, Rabu lalu, dengan alasan kerja-kerja berkenaan buat menyokong permintaan penangguhan itu.

Tarikh penutupan stadium untuk kerja-kerja itu dinyatakan bermula daripada Rabu hingga semalam, tetapi ketiadaan tanda-tanda perlaksanaan kerja-kerja itu jelas menghairankan.

Malah tempoh lima hari diberi juga kurang meyakinkan, kerana pakar penjagaan padang dan stadium yang dihubungi semalam menegaskan betapa kerja-kerja pembaikan dan pemasangan paip untuk sistem perparitan sebegitu perlukan ‘minimum seminggu.’


Ia sekadar menguatkan desas-desus penangguhan itu mungkin kerana permintaan penaja Persatuan Bola Sepak Polis yang enggan bermain ekoran ketiadaan pemain import dari Kenya, Benedict Changi, yang pulang membantu skuad Olimpik negaranya.

Peraturan FAM jelas menyatakan sebarang permohonan penangguhan perlu dikemukakan 14 hari sebelum tarikh perlawanan. Faktor lain yang pernah diambil kira ialah apabila kedua-dua pasukan menyatakan persetujuan mereka.

Namun Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr Ibrahim Saad berkata langkah penangguhan dalam tempoh dua hari sebelum perlawanan dibuat selepas tiada pilihan lain ekoran surat MPS itu.

“Bukan FAM sengaja mahu menangguhkan perlawanan. Pengurusan pasukan Polis memaklumkan kepada kami mengenai langkah MPS mahu memperbaiki sistem perparitan padang.

“Oleh kerana tiada lagi stadium yang boleh digunakan di Lembah Klang, kami tiada pilihan lain kecuali menangguhkan perlawanan itu,” kata Dr Ibrahim.

Apa yang pasti, FAM mungkin perlu segera melakukan siasatan secara lebih mendalam berkenaan isu itu kerana wujudnya petanda-petanda yang mengarah kepada kesimpulan berbeza.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, ketika dihubungi pula, berkata akan mengarahkan Jabatan Pertandingan FAM sentiasa memaklumkan perubahan terkini jadual kepada media.

“Kita akui mungkin perubahan itu tidak dimaklumkan dengan segera kepada media untuk bertanggungjawab memaklumkannya kepada penyokong. Tetapi perkara ini akan segera ditangani,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *