Liga Malaysia: Tiada lagi aksi 8.00 malam

Sumber : Berita Harian

 

 SEMUA perlawanan Liga Malaysia akan bermula pada jam 8.45 malam bermula 10 Mac ini sementara perlawanan di Sabah, Sarawak dan Brunei akan bermula jam 8.15 malam.

 Perubahan waktu perlawanan ini dipersetujui pada mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dipengerusikan oleh Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, kelmarin.

“Kami mengambil keputusan untuk mengembalikan waktu sepak mula seperti sebelum ini kerana terdapat banyak permintaan dari persatuan negeri. Kami mengambil keputusan adalah wajar kami mengembalikan waktu sepak mula seperti sebelum ini,” kata Raja Ahmad yang juga naib presiden FAM.


Jawatankuasa Pertandingan turut akan menggantikan tarikh beberapa perlawanan Piala Malaysia membabitkan pasukan Negeri Sembilan kerana pembabitan mereka dalam Piala AFC. Tarikh baru perlawanan akan diumumkan kemudian.

Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan juga memutuskan untuk mengadakan undian pusingan kedua Piala FA pada 12 Mac ini.

Skuad Piala Presiden TMFC pula didenda RM9,000 kerana menurunkan tiga pemain yang tidak mendapat pelepasan dari pasukan lama ketika bertemu Kelantan yang berkesudahan dengan keputusan seri.

Namun, Jawatankuasa Pertandingan memberikan kemenangan 3-0 kepada Kelantan kerana kesalahan TMFC.

Dalam perkembangan lain, Raja Ahmad turut mengingatkan jurulatih kelab dan negeri untuk merujuk terlebih dulu kepada pegawai pasukan sebelum mengkritik jadual pertandingan musim ini.

“Mereka seharusnya merujuk kepada pegawai pasukan masing-masing kerana setiap kali adanya seminar ia turut dihadiri pegawai negeri dan kelab.

“Kami bukan melakukan jadual mengikut keselesaan kami tetapi juga berdasarkan jadual pertandingan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan AFC,” kata Raja Ahmad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *