Obi bantu Sabah jinak UPB-MyTeam

Sumber : Berita Harian

DUA jaringan penyerang berbisa Charles Obi menjulang Sabah untuk meleburkan rekod tanpa kalah UPB-MyTeam apabila membelasah pendahulu Liga Perdana itu 3-1 dalam perlawanan di Stadium Likas, malam tadi.

 Chow Chee Weng memulakan penguasaan Sabah apabila membuka jaringan seminit sebelum rehat melalui sepakan percuma cantik yang memperdayakan pertahanan dan juga penjaga gol pelawat Faizal Rashid.

Masuk babak kedua, Sabah hanya mengambil empat minit untuk melebarkan kedudukan melalui Obi yang menggelecek pertahanan lawan sebelum melambungkan bola melepasi jangkauan Faizal untuk gol kedua tuan rumah.

Walaupun UPB-MyTeam berjaya merapatkan jurang melalui gol sendiri pertahanan Sabah Eboagwu Etuew pada minit ke-54 untuk menghidupkan peluang, Obi meranapkan harapan pelawat apabila menjaringkan gol ketiga tuan rumah empat minit sebelum tamat untuk memastikan kemenangan Sabah.

Ia adalah kekalahan pertama UPB-My Team dalam sembilan perlawanan tetapi tidak menggugat kedudukannya selaku pendahulu carta Liga Perdana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *