Sabah mula tunjuk perwatakan garang

Sumber : Berita Harian

 

ARINGAN tunggal Chow Chee Weng sejurus sebelum rehat membolehkan Sabah kekal berkuasa di tangga teratas Kumpulan C saingan bola sepak Piala Malaysia selepas membenam Pahang 1-0 di Stadium Darulmakmur, malam tadi.

 Kemenangan itu menyaksikan Sabah kini menghimpun 10 mata selepas empat perlawanan, berkelebihan satu mata daripada Perak yang hebat membenam Sarawak 4-1 di gelanggang sendiri.

Dalam saingan seimbang di Stadium Darulmakmur, kedua-dua pasukan saling mengatur gerak yang menyaksikan kekentalan benteng Pahang serta Sabah sentiasa diuji jentera penggempur masing-masing.

Ketika babak pertama tampak terikat 0-0, Chee Weng memecahkan kebuntuan untuk Sabah apabila menerima cantik umpanan jauh rakan sebelum meledakkan rembatan daripada dalam kawasan penalti untuk gol itu.


Di Stadium Perak, Khalid Jamlus meneruskan sentuhan hebatnya apabila menyumbang dua gol untuk kemenangan skuad kendalian Steve Darby itu.

Khalid membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh apabila menanduk masuk umpanan bola sepakan percuma Wong Sai Kong.

Kelebihan tuan rumah digandakan Keita Mandjou tiga minit selepas babak kedua bersambung apabila dia berada pada posisi terbaik untuk mudah menguis masuk umpanan Ahmad Shahrul Azhar menewaskan penjaga gol Sarawak, Mohd Firdaus Ishak.

Jeffrey Akup kemudiannya menambah derita Sarawak apabila tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-50 sebelum Khalid melengkapkan jumlah empat gol Perak dengan jaringan, empat minit kemudiannya. Gol tunggal Sarawak disumbangkan M Saravanan, enam minit sebelum tamat.

Di Stadium Selayang, Kedah bernasib baik untuk pulang dengan satu mata apabila Bunyamin Omar menjaringkan gol pengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-62.

Polis sebelumnya bermula garang dan menerusi beberapa gerak ancaman awal, berjaya mendahului selepas 24 minit menerusi rembatan deras penyerang, Md Badri Md Radzi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *