Perak, Sabah ikut Kedah ke suku akhir

Oleh Azizan Hashim

PERAK dan Sabah mengiringi Kedah ke suku akhir Piala Malaysia selepas meraih keputusan yang diperlukan dalam saingan Kumpulan C malam tadi.

Di Stadium Perak, Ipoh, tuan rumah yang memerlukan kemenangan ke atas juara kumpulan yang sudah layak, Kedah berjaya mencapai hajat yang diingini menerusi kemenangan 2-1.

 Jaringan tonggak import mereka, Traore Abdoulaye tepat pada detik sejam dan Keita Mandjou, 10 minit sebelum tamat memastikan tiket mereka ke pusingan lapan terakhir sebagai naib juara.


Asakan bertubi-tubi Perak akhirnya membuahkan hasil apabila Abdoulaye yang tergelincir bangun untuk meledakkan rembatan kencang tepat pada minit ke-60 selepas menerima hantaran Yusri Che Lah.

Mandjou memastikan tiga mata berharga itu dengan menyempurnakan hantaran lintang Danial Fazly Abdullah yang bijak mengawal bola tinggi hantaran S Kartik minit ke-80. Penalti Mohd Bunyamin Omar lima minit sebelum tamat sekadar sagu hati buat barisan simpanan Mohd Azraai Khor yang tidak terjejas dengan kekalahan ini.

Sabah pula mara sebagai salah satu daripada dua pasukan tempat ketiga terbaik menerusi kemenangan 4-3 ke atas Polis di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *