Singa Utara ikat Sabah

Sumber : Berita Harian

 KEBANGKITAN dramatik Perlis pada lewat babak permainan di Stadium Likas menyalakan harapan apabila memaksa Sabah seri 2-2 dalam saingan suku akhir pertama kejohanan bola sepak Piala FA manakala laluan Johor-Pasir Gudang ke separuh akhir tampak makin selesa apabila menewaskan Kuala Muda-Naza 2-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, malam tadi.

Perlis memulakan perlawanan dengan baik tetapi Sabah yang mula memecah kebuntuan pada minit ke-20 menerusi rembatan kencang Prince Guy Ative dari jarak 25 meter menewaskan penjaga gol Perlis, Tay Sin Kiat.

Sabah kemudian melebarkan jurang gol menerusi jaringan Azrul Ejati Damsah, yang berpunca dari hantaran Chow Chee Weng pada minit ke-43.

Perlis akhirnya berjaya juga membuka jaringan menerusi jaringan Mohd Nazaruddin Mohd Zain pada minit ke-87 yang berpunca dari hantaran Riduwan.

Gol itu memberi semangat buat Perlis untuk memburu gol penyamaan, dan usaha mereka berhasil apabila Philemon Chipeta berjaya merembat masuk gol penyamaan pada minit ke-90.

Keputusan seri ini membolehkan pasukan bimbingan Abdul Rahman Ibrahim membawa harapan bagi menempuh perlawanan suku akhir kedua di Kangar pada 29 Mei ini.

Sementara itu, laluan Johor-Pasir Gudang ke separuh akhir Piala FA tampak cerah selepas menewaskan Kuala Muda-Naza dengan satu gol pada setiap babak permainan.

Jaringan Hairy Azli Mahamad pada minit ke-4 dan Mohd Khairul Ismail pada minit ke-89 nyata mencukupi buat Johor-Pasir Gudang yang bakal berdepan tugas mudah apabila bertandang ke gelanggang lawan, 29 Mei ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *