Mamic puji kelibat Sabah

Sumber : Berita Harian

Tekad cari formula baru merealisasikan impian ke final buat kali keempat

DI sebalik kekecewaan gagal mencipta kemenangan sebagai bekalan ke Ipoh malam esok, jurulatih Sabah, Drago Mamic tetap bangga kemampuan anak buahnya menyekat kemaraan Perak di Stadium Tawau, malam kelmarin.

Mamic yang ditemui media selepas perlawanan berkenaan, sebaliknya bertekad menemukan formula baru untuk merealisasikan impian Sabah ke final Piala Malaysia buat kali keempat.

Katanya, pasukan pelawat merantai penyerang berwibawanya, Charles Obi dengan meletakkan tiga pemain pertahanan mengawal penjaring gol tunggal Sabah dalam perlawanan itu.

Strategi itu menyebabkan Obi berada dalam situasi sukar mencipta jaringan, sekali gus memaksa beliau memikirkan formula baru untuk merobek pertahanan Seladang.

"Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan persembahan semua pemain. Mereka berpotensi dikekalkan untuk menggalas cabaran hidup mati malam Selasa ini (malam esok)," katanya.


Mamic memuji prestasi keseluruhan pemainnya kerana mereka bijak menyerap serangan bertali arus pasukan pelawat serta bertindak berani menyerang balas.

Katanya, pelbagai formasi akan diterapkan pada saingan separuh akhir kedua, terutama meletakkan penjaring alternatif ketika Obi terperangkap dalam kepungan pertahanan kental Perak.

Berbekalkan bayangan semua pemain akan dikekalkan, jentera tengah Sabah yang dikemudi bekas pemain kebangsaan, Chow Chee Wing dan Zainizam Marjan, dijangka dikunci pasukan Seladang.

Ini berasaskan kehebatan kedua-dua pemain yang masih mempunyai sentuhan pemusnah itu menjana jaringan Sabah dan mengatur serangan.

Jaringan Obi di Stadium Tawau malam kelmarin dihasilkan melalui sepakan kencang Zainizam pada jarak kira-kira 25 meter yang ditepis penjaga gol Perak, Mohd Nasril Nourdin pada minit ke-44.

Ia membawa kepada sepakan penjuru yang diambil Chow yang kemudiannya ditanduk masuk Obi.

Sementara itu, jurulatih Perak, Steve Darby berkata, biar pun Perak hanya memerlukan seri tanpa jaringan di Ipoh, beliau tetap mahukan kemenangan mutlak.

Katanya, beliau tidak memandang rendah keupayaan Sabah seperti yang dipamerkan di Stadium Tawau kerana dalam bola sepak, macam-macam boleh berlaku.

"Kedua-dua pasukan masih berpeluang dan sudah tentu kami mahukan kemenangan di Ipoh," katanya.

Beliau mengakui kurang selesa dengan sorakan penyokong Sabah di Stadium Tawau kerana walaupun mereka tidak bertindak agresif, sokongan padu itu agak menjejaskan tumpuan anak buahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *