Kedah mengganas

source

KEDAH kembali mempamerkan kehebatannya selepas membelasah Sabah 5-1 dalam saingan kumpulan B bola sepak Piala Malaysia di Stadium Darulaman, Alor Star malam tadi.

Biarpun suasana stadium yang dipenuhi 25,000 penyokong diselubungi kesedihan dengan berita kematian bekas pengurus Kedah, Datuk Ahmad Basri Akil namun barisan pemain Hijau Kuning sentiasa bertenaga untuk mengatur serangan bertali arus.

Pasukan tuan rumah tidak perlu menunggu lama untuk memperoleh gol pembukaan apabila Marlon Alex James bijak menyempurnakan tugasnya dengan menolak masuk hantaran Syafizan Hashim pada minit keenam sebelum Cornellius Bernard Hugging pula menggandakan kedudukan melalui tandukan empat minit selepas itu.

Misi mengutip tiga mata penuh skuad Kenari bagaimanapun terencat seketika setelah David Njoku meledakkan gol pertama Sabah pada minit ke-25.

Semangat anak-anak muda Kedah yang belum pudar sekali lagi membuahkan hasil apabila Marlon hanya perlu menolak bola yang telah menewaskan penjaga gol Sabah, Irwan Jamil pada minit ke-34.

Kelekaan barisan pertahanan Sabah telah digunakan dengan sebaiknya oleh pemain tuan rumah untuk menghasilkan gol keempat pada minit ke-43 menerusi Fadzly Baharom sebelum dia menyumbat gol kelima pasukannya dua minit selepas itu.

Kedudukan 5-1 yang dihasilkan pada babak pertama kekal sehingga tamat perlawanan tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *