Kenyataan rasmi dan penafian SabahRhinos.com berkenaan khabar angin di media sosial tentang kekacauan dan kekecohan yang bakal berlaku ketika perlawanan pasukan Sabah menentang pasukan Kementerian Kewangan (MOF) pada 20 Feb 2016.

English version

Pengenalan

Sekitar jam 11:00 malam pada 18 Feb 2016 (Khamis), Sharin Said (admin SabahRhinos.com) telah menerima panggilan dari pihak Polis Di Raja Malaysia (Balai Polis Karamunsing) memaklumkan untuk datang ke balai. Sharin Said diminta untuk hadir pada esok harinya (19 Feb 2016 (Jumaat)) pagi atau seawal malam sebelumnya. Sharin Said dimaklumkan bahawa perkara ini berkaitan dengan isu-isu bola sepak.

Sharin Said bersama seorang rakan, secara sukarela ke Balai Polis Karamunsing bagi menemui pegawai polis berpangkat Inspektor lebih kurang sejam selepas menerima panggilan telefon.

Pertemuan pertama (12:00 pagi 19 Feb 2016, Balai Polis Karamunsing)

Sharin Said dan seorang rakan telah ke Balai Polis Karamunsing lebih kurang pada jam 12:00 pagi 19 Feb 2016 (Jumaat) bagi pertemuan ringkas dengan pegawai berkenaan. Sharin Said telah dimaklumkan oleh pegawai berkenaan mengenai khabar angin di media sosial yang telah viral mengenai kekacauan atau kekecohan yang bakal berlaku di Stadium Likas semasa pasukan Sabah menentang pasukan MOF nanti. Pihak PDRM sangat prihatin akan keselamatan ketika perlawanan khususnya dan kesejahteraan rakyat Sabah secara amnya.

Pertemuan kedua (19 Feb 2016, Balai Polis Karamunsing)

Satu lagi pertemuan bakal diadakan selepas kenyataan ini dibuat di antara pihak PDRM dan juga Sharin Said, selaku wakil SabahRhinos.com bagi membincangkan mengenai khabar angin tersebut dengan lebih lanjut.

Kami dari pihak SabahRhinos.com dan juga Sharin Said khususnya berterima kasih kepada pegawai (Inspektor) tersebut kerana sudi mendengar pandangan dan input dari pihak kami.

Sejarah SabahRhinos.com

SabahRhinos.com telah diwujudkan sejak tahun 1997 lagi. Masa itu yang wujud hanyalah sebuah laman web yang dibina secara percuma bagi penyokong-penyokong bola sepak Sabah mendapatkan maklumat bola sepak Sabah khususnya dan Malaysia amnya. Kewujudan laman web ini adalah 100% inisiatif individu-individu penyokong bola sepak Sabah dan tidak ditaja oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak dengan kepentigan kewangan dan/atau politik.

Peringkat seterusnya, laman web SabahRhinos.com telah menjadi portal dan forum utama yang berjaya mengumpulkan peyokong-penyokong bola sepak Sabah di seluruh dunia di alam maya. Pertemuan antara penyokong, pemain dan pihak pengurusan SAFA telah dapat diadakan beberapa kali.

SabahRhinos.com terus berkembang ke media sosial seperti Facebook dan Twitter. Setelah hampir 20 tahun laman web SabahRhinos.com wujud, hanya laman-laman sosial berikut yang secara rasmi sebahagian daripada SabahRhinos.com:

SabahRhinos.com TIDAK SAMA SEKALI MENGENDALIKAN SEBARANG AKAUN MEDIA SOSIAL SELAIN YANG TERSENARAI DI ATAS (TIADA WHATSAPP, WECHAT DLL.)

Grand Stand Utama

Sejak sekian lama, setiap home game bagi pasukan Sabah di Stadium Likas, SabahRhinos.com hanya duduk “secara rasmi” di Grand Stand Utama berhampiran bilik media (tiket RM20.00).

Khabar angin kekecohan yang viral di media sosial

Kami faham pihak PDRM sangat prihatin akan keselamatan ketika perlawanan. Kami di pihak SabahRhinos.com tidak langsung tahu mengenai khabar angin yang dimaklumkan kepada kami sedang viral ketika ini.

Penafian

Kami di pihak SabahRhinos.com (dan juga Sharin Said) dengan ini menafikan kami mengetahui atau merancang atau ingin melibatkan diri dengan kejadian khabar angin ini.

Sepanjang hampir 20 tahun, SabahRhinos.com tidak pernah membuat kekecohan ketika mana-mana perlawanan bola sepak sedang berlangsung.

Sepanjang hampir 20 tahun, SabahRhinos.com menjadi tempat perbincangan secara kritikal dan intelektual mengenai bola sepak secara amnya dan bola sepak Sabah khususnya. Memberikan kritikan dan komen membina terhadap isu-isu bola sepak Sabah itu adalah lumrah.

Suatu perkara mengenai SabahRhinos.com, kehadiran kami di Stadium Likas tidaklah segah dan seramai ahli-ahli online Facebook group rasmi SabahRhinos.com. Selalunya purata adalah dalam 10 hingga 20 orang yang suka-suka duduk bersama, bersorak dan bersembang ketika perlawanan.

Kepada kelab-kelab / persatuan-persatuan / organisasi-organisasi / kumpulan-kumpulan penyokong Sabah lain
Ini nasihat yang kami selaku senior yang ditujukan kepada kelab-kelab / persatuan-persatuan / organisasi-organisasi / kumpulan-kumpulan penyokong bola sepak Sabah lain, samada di alam betul atau alam maya:

Ketahuilah bahawa khabar angin ini di dalam pemerhatian PDRM

Kami tidak tahu samada pihak PDRM telah memanggil atau akan memanggil mana-mana wakil dari kelab-kelab / persatuan-persatuan / organisasi-organisasi / kumpulan-kumpulan penyokong Sabah lain tapi yang kami pasti Sharin Said selaku wakil SabahRhinos.com yang bakal dipanggil PDRM sekiranya berlaku kekacauan ketika perlawanan dan juga di masa hadapan.

Selain penafian penglibatan SabahRhinos.com dalam segala khabar angin ini, kami ingin memberitahu kelab-kelab / persatuan-persatuan / organisasi-organisasi / kumpulan-kumpulan penyokong Sabah lain, sekiranya khabar angin ini benar dan ada antara kamu yang terlibat, kami mungkin tidak dapat mengubah keputusan yang telah dan bakal kamu lakukan tapi ketahuilah sekiranya terjadi apa-apa, yang bakal dipanggil PDRM terlebih dahulu adalah wakil dari SabahRhinos.com (Sharin Said)

Pengiktirafan

SabahRhinos.com sedia memberikan kerjasama dengan PDRM sekiranya diperlukan untuk memberikan keterangan nanti.

Terima kasih kami ucapkan kerana dalam banyak-banyak kelab-kelab / persatuan-persatuan / organisasi-organisasi / kumpulan-kumpulan peyokong lain, nombor telefon admin SabahRhinos.com (Sharin Said) jugalah yang kamu sampaikan ke PDRM.

Kami dari SabahRhinos.com tidak merasakan insiden ini satu beban atau halangan malah di kesempatan ini SabahRhinos.com sedia bekerjasama terus dengan pihak PDRM sekiranya terhidu atau mendapat khabar angin wujudnya rasuah di kalangan staf, pengurusan, jurulatih-jurulatih dan pemain-pemain SAFA.

Terima Kasih.
Admin-admin SabahRhinos.com

English version

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *